nuffnang

Teme's GANG

Belajar ni takda guna!!



Adik-adik,
Atau abang-abang,
Atau kakak-kakak,
Atau anak-anak yang sedang baca artikel ini.

Percayalah,
Akan ada satu peringkat dalam hidup ini, kalian akan rasa belajar ini tidak penting.

Kalian rasa tak guna belajar mathematics, sebab di alam pekerjaan nanti, tiada siapa pun yang akan tanya pasal inverse trigonometry.
Takda sapa pun yang akan anggap simbol ‘!’ itu sebagai simbol factorial. Simbol ‘!’ itu tetap bermaksud tanda seru bagi kita.
Bila tengah memasak untuk anak bini nanti, tiada siapa pun yang akan guna istilah sodium chloride untuk garam, garam tetap garam.
Tiada siapa pun nak tanya apakah nilai x, y, dan z bila dalam bilik mesyuarat nanti,
Takda sapa pun nak kira probability terbeli limau busuk masa tengah beli buah-buahan kat pasar malam.

Persoalan-persoalan ini memanaskan otak kau. Bagi kau semua ini buang masa, buang tenaga. Apalah guna kau belajar sehingga ke universiti sedangkan kau boleh peroleh ilmu dengan cara lain. Ini semua membantutkan ‘kerja-kerja dakwah’. Kononnya ini semua helah puak kafir untuk melengah-lengahkan kemenangan ummah. Apalah guna belajar tinggi-tinggi, baik berhenti belajar, pastu menuntut ilmu agama sepenuh masa.

..

Kan?
Mesti pernah terfikir kan?
Aku tahu..
Sebab.. Itulah aku yang dulu, aku give-up belajar. Bukan setakat give-up, aku berhenti terus. Walaupun dapat biasiswa, dapat tempat yang baik untuk menuntut ilmu, aku berhenti belajar. Sehinggakan aku tidak diterima masuk ke mana-mana universiti awam kerana result aku suatu ketika dahulu. Itu semua dulu.
*tarik nafas*

Ini semua sindrom darah muda,
Darah muda yang kononnya inginkan kebebasan bersuara, ego, kononnya inginkan pendapatnya mendapat perhatian, ingin didengari, dan tidak mahu belajar dengan yang lebih berpengalaman (sistem pembelajaran). Pemberontakan ini normal dalam diri anak muda yang inginkan kejayaan, tetapi terburu-buru..

Rasa seperti ilmu-ilmu ini semua hanya dihafal untuk exam,
Kelihatan seperti subjek-subjek tersebut tiada gunanya dalam kehidupan seharian.

Walhal, subjek-subjek bukan diwujudkan untuk dinilai secara literal. Bukan semuanya boleh dinilai dengan tajuk. Tetapi ia ada nilai tersirat, ia melatih kita menyelesaikan masalah, ia melatih kita menjadi matang dan berfikiran matang dalam menguruskan kehidupan, ia melatih kita sabar. Mengajar kita untuk hidup, bersaing, dan tidak menghakimi situasi dengan melulu. Dan yang paling penting, ia mengajar kita etika dan kesopanan dalam mengendalikan perbezaan pendapat.
 School doesn’t only test your intelligence. It tests your memory and willpower!

Lagipun,
Siapa suruh kalian hafal sahaja ilmu-ilmu tersebut?
Gunakanlah akal kurniaan Allah itu untuk melihat kebesaran Allah dengan ilmu yang kalian pelajari. Buka mata seluas-luasnya.

Okay,
Aku berikan contoh satu perkara indah yang aku terjumpa dalam ilmu Physic yang aku pelajari. Aku tahu ada yang membenci Physic dengan sepenuh jiwa raga, tapi baca dulu perkongsian aku. Pernah dengar Theory of Relativity dalam bab Quantum Physics? Ok aku akan ceritakan secara ringkas. Ada satu teori oleh Albert Einstein dalam bab ini yang mengatakan tiada apa-apa objek pun dapat menandingi kelajuan cahaya dalam alam semesta ni. Kalau ada yang hampir kepada kelajuan cahaya sekalipun, mass (jisim) objek tersebut akan meningkat dan menyebabkan kelajuannya berkurangan. Tak perlu cerita lebih-lebih, yang kalian perlu tahu ialah kelajuan cahaya ialah kelajuan yang paling tinggi dan tidak dapat ditandingi di alam semesta. Ok faham? Kita cuba beralih kepada ajaran Islam pula.

Kalian tahu peristiwa Israk Mikraj? Peristiwa yang mana Nabi Muhammad saw dijalankan oleh Allah daripada Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa lalu diangkat terus ke langit. Perjalanan yang teramat jauh ini berlaku dalam hanya 1 malam.

Dalam hadith Bukhari ada meriwayatkan nama satu haiwan yang telah menjadi tunggangan Rasulullah saw ketika peristiwa tersebut, iaitu Buraq. Buraq berasal daripada perkaraan arab yang bermaksud kilat/cahaya (البُراق‎). Ingat balik teori physic tadi? Kelajuan cahaya merupakan kelajuan yang paling tinggi bukan? Ini meimbulkan persoalan dan keterujaan dalam diri aku kerana nama binatang yang dinaiki Rasulullah pun menggunakan kata dasar ‘cahaya’. Walaupun Rasulullah saw tidaklah menaiki cahaya secara literal, tetapi simbolik kepada ciri-ciri kelajuan yang sangat hebat itu tergambar pada nama Buraq. Mana mungkin kajian Theory of Relativity ini dipelajari oleh Rasulullah saw lebih 1400 tahun dahulu. Ini semua bukti kekuasaan Allah.

Inilah tujuan ilmu, ia kembalikan kita kepada Allah.
Kalau kita betul-betul menghayati apa yang kita belajar, ia mendekatkan diri kita kepada Allah. Kerana semua ilmu ini milik Allah. Ia menambah keyakinan dan keimanan kita kepada ajaran Islam. Akan muncul perasaan takut kepada Tuhan yang menguasai alam ini.

“...sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dalam kalangan hamba-hambaNya adalah para ilmuan...” –Surah Fatir ayat 28.

Lihatlah ayat-ayat sebelum ayat ke 28 dalam surah yang sama. Kebanyakannya berbicara tentang ilmu berkaitan sains. Termasuklah kejadian hujan, peranakan, penternakan, jenis-jenis air, kejadian malam dan siang, dan sebagainya. Ajaib.

Percayalah..
Semakin tinggi kalian belajar,
Maka semakin bertambahlah keimanan kalian kepada Allah,
Semakin bertambah ketakwaan kalian.

..

..

Selain untuk menimba ilmu,
Sistem pengajian telah diwujudkan untuk memberikan ‘kelayakan’.
Ianya satu sistem untuk mengurniakan ‘tauliah’ secara seragam kepada penuntutnya.
Dan juga untuk memudahkan proses penapisan ilmu sahih dan ilmu batil.

Kelayakan ilmu ini penting.
Tengoklah sekarang. Ramai yang sanggup menipu academic qualification untuk membolehkan dia dipandang tinggi dalam masyarakat. Sanggup menipu kelayakan akademik untuk membolehkan dia bercakap tentang sesuatu perkara. Dalam ilmu agama sekalipun, ada yang sanggup menipu qualification pengajian agama dari universiti-universiti tertentu, walhal tidak pernah berdaftar pun di universiti tersebut.

Aku ingin fokus kepada ilmu agama pula.
Sedangkan untuk menjadi seorang arkitek yang layak membuat keputusan dalam reka bentuk pun perlu menghabiskan bertahun-tahun masa belajar. Umur 30 tahun ialah umur paling awal bagi seorang arkitek untuk bergelar professional. Itu baru ilmu dunia tu, bukan ilmu agama. Inikan pula untuk melayakkan diri membuat keputusan dalam bidang agama, mestilah mempunyai kelayakan sewajarnya.

Kelemahan masyarakat kita ialah terlampau bersangka baik dan mengambil enteng perihal ilmu agama. Sehinggakan kita menjadi lurus bendul dan akur walaupun diheret ke mana sahaja. Kita terima bulat-bulat perkara yang disandarkan kepada agama tanpa melihat kepada kelayakan penyampai dan kesahihan ilmu tersebut.

Kita gunakan alasan,

“Alah.. ilmu agama kan bende baik.. biarlah siapa-siapa pun nak cakap soal agama dengan mendalam.. biarlah siapa-siapa pun nak keluarkan hukum itu haram ini haram untuk agama. Bercakap soal agama kan perkara baik.”

Ya.
Bercakap soal agama ialah perkara yang baik.
Dengan syarat, ianya sahih.
Islam mengajar kita menjadi kritis, bukan menjadi ‘pak-turut-asalkan-bunyi-islamik’.
Persoalannya, bagaimana kita nak tahu perkara itu sahih atau tidak sahih sedangkan kita juga tidak punyai ilmu yang mendalam? Bagaimana kita nak membezakan?
Inilah pentingnya kelayakan dalam sesuatu bidang. Faham?

Kita tidak akan menerima hukum perubatan daripada seseorang yang bukan doktor, tetapi kenapa kita senang-senang menerima ijtihad agama dari seorang yang bukan ahli agama?

Kerana sifat acuh tak acuh pada agama inilah yang membuatkan orang mudah mengambil kesempatan ke atas agama. Agama dijadikan bahan dagangan kerana ianya laku dan semua inginkannya. Agama dijual dengan harga yang murah.

Para pemuda,
Terutamanya yang self-proclaimed ‘pendakwah’,
Jangan terkeliru dengan ilmu anda. Bersekolah di sekolah agama tidak menjadikan anda ulama. Join usrah dan kuliyyah maghrib tiap-tiap malam pun tidak cukup. Jangan percaya bisikan-bisikan syaitan yang katakan anda layak mengeluarkan fatwa, sedangkan pada hakikatnya anda sedang menghancurkan agama. Ya, kita diwajibkan berdakwah, tetapi jangan terkeliru antara dakwah dan diayah (penyebaran sesuatu fahaman untuk kepentingan peribadi). Belajarlah ilmu agama dengan lebih tinggi.

Maaf..
Walaupun aku bukan alim dalam hal agama, aku sensitif dengan perkara yang melibatkan Allah dan Rasulullah saw. Aku tidak akan biarkan agama ini senang-senang dieksploitasi oleh golongan yang ingin mengaut keuntungan darinya semata-mata. Selagi aku hidup, selagi itulah aku akan memeranginya.

..

...

....

Yang mana umurnya 13 tahun,
Yang mana umurnya 15 tahun,
Yang mana umurnya 17 tahun,
Yang mana umurnya 20 tahun,
Ingatlah.. Umur anda itu datang sekali je. Tahun depan anda akan berubah umur dan mustahil untuk berpatah balik.
Walaupun kita berbeza 1-2 tahun sahaja, percayalah, banyak seseorang boleh perolehi pengajaran hidup dalam masa 1-2 tahun.
Aku hanya mampu menulis memberi nasihat, kalianlah yang memandu hidup kalian sendiri.

Tidak salah jikalau kalian nekad hendak berhenti belajar secara formal kerana ingin melakukan sesuatu yang lebih baik.
Tetapi..
Kalau kau tak ada idea lain yang produktif untuk membantu ummah. Ikut saja, jangan bising tanpa usaha. Jangan berhenti belajar.
Berotak sebelum memberontak.

Allah telah meletakkan kalian di satu posisi yang baik untuk menuntut ilmu. Jangan kalian abaikan, jangan kalian berpaling, jangan kalian malas. Sedangkan ramai orang ingin berada di posisi yang anda berada sekarang ini. Jangan terpengaruh dengan konklusi pra-matang yang dikeluarkan oleh anda sendiri. Ramai anak muda berhadapan dengan konflik merasakan diri sendiri tidak sepatutnya berada dalam aliran akademik secara formal. Ini normal.. Tanpa kalian sedar, inilah mujahadah kalian.. Bersungguh-sungguhlah melawannya.

..

..

Dengar sini..
Penuhilah hari mudamu dengan menuntut ilmu,
Kerana ilmu mengajar kau merendah diri itu perlu,
Bila dah meningkat usia, kau dah tidak lagi mampu.

Belajarlah sehabis mampu kalian,
Kelak kau jadi tin kosong, bunyinya bising, tapi tiada isi untuk dimakan.
Jika dipegang, kulit boleh terlukakan,
Hanya boleh digunakan untuk menghalau babi hutan yang menyondol pokok, merosakkan tanaman.
Dan lama kelamaan, nafsu kau menjadi tuan.

Tetapi..
Dalam mengejar pointer dan ilmu, jangan dilupakan ‘hikmah’.
Untuk menjadi seseorang pemimpin dan memperjuangkan nasib ummah, ilmu kalian hendaklah seiringan dengan hikmah. Kalau tidak, kalian hanya akan boleh berbangga dengan pointer yang tinggi, tetapi hakikatnya kalian sudah kehilangan human value. Perkara ini akan menyusahkan orang lain. Terutamanya jika kalian merupakan pemimpin masyarakat.

..

Saidina Abu bakar.
Beliau menyumbang sebagai pakar rujuk dalam islam selepas kewafatan Rasulullah saw. Maka beliau berikan sumbangan atas keilmuannya sebagai sahabat yang paling disayangi oleh Rasulullah itu kepada islam.
Khalid al-Walid,
Beliau merupakan pakar peperangan. Maka beliau menyumbang kepada islam dengan menggunakan kepakaran taktik peperangannya.
Kaab bin Malik, Hasan bin Tsabit, dan Abdullah bin Rawahah.
Mereka bertiga ini mahir bersyair. Mahir dalam seni. Pada zaman itu, penyair dikira penghibur yang hebat, ibarat artis pada zaman sekarang yang pengikutnya ramai. Mereka menggunakan kemahiran mereka dengan sedaya upaya untuk mencipta syair-syair yang bagus untuk menentang syair jahiliyah yang menghina perjuangan Rasulullah saw. Sehinggakan Rasulullah pernah berdoa agar Allah menguatkan Hasan bin Tsabit.

Kita juga begitu,
Kita perlu fikirkan sumbangan apa yang kita boleh lakukan kepada islam sebelum semuanya terlambat.

Tuntutlah ilmu,
Belajarlah disiplin ilmu seperti ulama terdahulu,
Ilmu akhirat itu utama, ilmu dunia juga tersangat perlu,
Sediakan diri secukupnya, kerana ummah memerlukanmu,
Kerana ini juga mujahadah besar untuk aku dan kamu.

Aku pujuk..
Belajarlah..
Kuasailah bidang kalian..
Tidak perlu semuanya belajar ilmu hadith dan fiqh kerana kita perlukan kepelbagaian untuk saling melengkapkan.
Ummah ini perlukan anda..
Ayuh kita sama-sama kembalikan keamanan dan kesejahteraan (islam) kepada dunia.

Janganlah kejar populariti. Janganlah semata-mata kejar nama. Kerana bila jasad engkau mati, perjuangan nama itu akan bersemadi bersama-sama dengan matinya tokoh.

Sebaliknya, kejarlah ilmu. Perjuangkanlah ilmu. Kerana bila engkau mati, perjuangan ilmu itu akan terus hidup dan boleh disambung oleh generasi seterusnya. 
Dan ia akan menjadi pahala yang berterusan buat engkau kelak insyaAllah.

Berhentilah belajar.. give-up sekarang.. dan good luck hidup dengan kebodohan..

HOT POST!!